HARTA PUSAKA Harta Pusaka ialah harta yang ditinggal oleh seseorang yang mati untuk diwarisi oleh ahli keluarganya serta yang lain. Harta yang dimaksudkan itu ialah segala harta peninggalan simati yang meliputi harta alih dan harta tak alih setelah ditolak segala hutang dan kewajipan yang perlu diberikan kepada pihak-pihak yang berhak menurut undang-undang.
BIDANG KUASA
Bidang kuasa Pentadbiran dan Pembahagian Harta Pusaka di Malaysia adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 4(e)(1), Senarai 1, Jadual Kesembilan yang memperuntukkan undang-undang berkaitan pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat adalah terletak di bawah senarai Persekutuan. Ini bermakna kuasa perundangan berkaitan harta pusaka yang merangkumi harta alih atau tak alih, harta berwasiat atau bukan berwasiat adalah terletak kepada bidangkuasa Persekutuan.
Harta Pusaka Islam hendaklah ditadbir mengikut Akta-Akta berkaitan selari dengan jenis Harta tersebut iaitu Harta Pusaka Kecil ditadbir mengikut peruntukan Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, Harta Pusaka Biasa mengikut Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan prosedur yang ditetapkan mengikut peruntukan dibawah Peraturan Mahkamah Sivil (Rules of Court, 2012) dan harta ringkas mengikut Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
Mahkamah Syariah sebagai Institusi negeri yang membuat keputusan berkenaan perkara perundangan Islam mempunyai peranan dan kuasa yang terhad dalam perkara berkaitan harta Pusaka Islam. Mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan suatu harta sebagai Harta Pusaka, memerintahkan pembahagian harta si mati atau memberi surat kuasa mentadbir harta pusaka. Peranan Mahkamah syariah ialah memutuskan (jika berlaku) pertikaian berhubung masalah harta sepencarian, wasiat, hibah, wakaf, nazar dan lain-lain. Mahkamah syariah perlu dirujuk untuk keputusan terhadap perkara tersebut.
Mahkamah Syariah juga mempunyai bidang kuasa dalam mengesahkan bahagian ahli waris yang berhak melalui pengeluaran “sijil faraid” atau perakuan warisan. Keputusan Mahkamah Syariah berkaitan dengan perkara-perkara di atas hendaklah diambil kira dalam sesuatu perintah pembahagian harta pusaka.
Bagaimanapun dalam perkara pembahagian Pusaka Islam, perundangan yang terpakai ialah undang-undang khusus kepada orang Islam terhadap perkara seperti penentuan waris, kadar bahagian masing-masing dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pembahagian, semuanya tertakluk kepada hukum syarak. Perkara ini secara perundangannya terjatuh dalam bidangkuasa Negeri.
Jenis-jenis Harta Pusaka Harta Islam
Pusaka Berwasiat (Testate)
Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya. Ini bermakna keputusan memberi pemilikan harta atau manfaat selepas kematian pemberi wasiat. Bagaimanapun wasiat dalam Islam tertakluk kepada satu pertiga daripada hartanya sahaja. Bagi orang bukan Islam, wasiat tertakluk kepada Akta Wasiat, 1959.
Harta Pusaka Tidak Berwasiat (Intestate Estate)
Simati meninggal dunia tanpa membuat wasiat atau tanpa sempat membuat wasiat.
Harta Pusaka Kecil
Iaitu harta yang tertakluk dibawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 . Seksyen 3 Akta 98 mentafsirkan Harta Pusaka Kecil sebagai harta si mati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tak alih beserta dengan harta alih dan nilai kesemuanya tidak melebihi RM 2,000,000 dan tidak berwasiat mengikut Akta Wasiat 1959 pada tarikh permohonan dibuat.
Harta Pusaka Besar
(dikenali juga harta pusaka biasa) Harta Pusaka Besar semua jenis harta peninggalan si mati, dengan wasiat (biasanya Harta Pusaka Bukan Islam) atau tanpa wasiat, dan
(i) harta alih dan harta tak alih yang bernilai RM 2,000,000.00 ke atas kesemuanya;
(ii) (ii) harta tak alih (tanah) yang bernilai lebih daripada RM 2,000,000.00; dan
(iii) (iii) dengan wasiat walaupun nilai kesemuanya kurang daripada RM 2,000,000.00.
Harta pusaka ringkas
Harta si mati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi RM 600,000.00 berpandukan kepada Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
Penentuan harta Pusaka
(i) Selepas di tolak belanja kematian atau perbelanjaan menguruskan jenazah. Perbelanjaan menguruskan jenazah yang diambil dari harta simati seperti pembelian peralatan kafan, keranda, upah memandikan jenazah,menggali kubur membawa jenazah ke kubur sama ada diusung atau dengan kereta jenazah
(ii) Hutang simati, perlu dipastikan dan seterusnya diselesaikan terlebih dahulu barulah bakinya menjadi Harta Pusaka simati.
(iii) Wasiat boleh ditakrifkan sebagai suatu pengumuman atau pernyataan niat seseorang yang membuatnya di mana perkara yang dia niatkan itu, akan dilaksanakan sebaik saja dia mati atau selepas kematiannya sehingga niat itu ditarik balik. Seorang Islam boleh mewasiatkan satu per tiga dari hartanya. Jika menepati syarat dan rukun wasiat, maka harta yang di wasiatkan itu tidaklah menjadi sebahagian harta pusaka.
(iv) Hibah pada istilah syarak ialah suatu aqad yang mengandungi pemberian milik oleh seorang terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan ('iwad). Contohnya dengan menukarkan nama orang yang diberikan hibah ke dalam geran tanah atau rumah atau kereta. Setelah itu harta itu bukan lagi milik simati dan terkeluar dari senarai harta faraid (Pusaka).
(v) Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Jika berlaku kematian, contohnya kematian suami, isteri berhak menuntut harta sepencarian dan harta itu tidak terjatuh dalam harta pusaka. Ini bermakna jika berlaku kematian si suami, si isteri berhak menuntut harta sepencarian dan juga hak faraid (harta Pusaka).
Penentuan ahli waris Ahli
Waris ialah orang yang berhak menerima pusaka daripada simati. Penentuan ahli waris dan kadarnya ditentukan dan disediakan dan ditentukan oleh Mahkamah Syariah dengan pengeluaran Sijil Faraid atau Perakuan Ahli Waris. Sijil Faraid akan memperuntukan bahagian yang akan diterima oleh waris dan pembahagian dibuat mengikut Hukum Faraid atau Pusaka Islam. Bagaimanapun, ahli waris boleh membuat persetujuan dan mengemukakan Surat Persetujuan dan juga Penolakan (Takharuj) atau Surat Pakatan Keluarga di dalam pembahagian harta pusaka. Pembahagian akan dibuat mengikut Surat Persetujuan atau Surat Pakatan berkenaan.
Membuat permohonan
Prosedur pembahagan harta Pusaka hendaklah mengikut prosedur yang ditetapkan.
(i) Harta Pusaka Besar
Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan untuk mendapat surat kuasa mentadbir dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil. Permohonan boleh dibuat oleh sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta itu (termasuk Amanah Raya Berhad).Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat), ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar (bagi si mati yang meninggalkan wasiat untuk sebahagian hartanya
(ii) Harta Pusaka Kecil
Permohonan pembahagian harta Pusaka Kecil boleh dibuat oleh orang layak. Orang yang layak ialah :
(a) Waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya;
(b) Pemiutang dan pengkaveat;
(c) Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;
(d) Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;
(e) Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;
( f) Amanah Raya Berhad
(iii) Harta Pusaka Ringkas
Harta Pusaka terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai tidak melebihi RM 600,000.00, saham-saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), kereta, wang simpanan di dalam bank atau lain-lain, dan sebagainya. Permohonan untuk pembahagian harta pusaka ringkas ini hendaklah dibuat kepada Ketua Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu seperti mana yang dinyatakan di dalam sijil faraid daripada mahkamah syariah.
Cara Pembahagian Harta Pusaka Faraid
Apa Itu Faraid?
Faraid dari segi bahasa bermaksud KETETAPAN.
Menurut Istilah di dalam Syarak, Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang islam yang telah di tetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak seperti (Anak, Isteri, Suami, Ibu, Bapa dan Lain-lain) Harta yang dibahagikan kepada waris-waris adalah baki harta yang ditinggalkan selepas ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada bentuk agama (Zakat, Nazar dll) atau segala hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang di benarkan syarak. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid adalah:
1. Tanah, bangunan ( rumah, kilang, gudang dll);
2. Barang kemas (emas, perak dll);
3. Insurans, saham, bon, wang tunai, dll ( sama ada dilabur atau tidak);
4. Tanah, kebun, ladang dll;
5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu:
· iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
· Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.
· Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu.
· Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak.
· Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga.
· Jika si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Nisa: 11)
"Dan bagi kamu (suami)
· satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak,
· jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya.
Dan bagi mereka pula (isteri)
· memperoleh seperempat harta yang ditinggalkan suami jika kamu tidak mempunyai anak,
· jika mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya.
· Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing ialah satu perenam harta.
· Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah."
(Surah Al-Nisa': 12)
"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(Surah Al-Nisa': 176)
Dalam beberapa hadis yang lain pula daripada Ibnu ‘Abbas r.a. berkata: Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya."
Daripada Ibnu Mas'ud pada menyatakan hukum berkenaan anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) "Maka telah menghukumkan Rasulullah S.A.W. bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara perempuan." (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Manakala daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu." (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa'ie)
Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas syar'ie dan qat'ie dari Al-Qur'an atau Al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dzawil arham untuk mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dzawil arham) bererti kita memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut syariat Islam adalah batil. (Dalil yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi'e)
Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu, baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun."
Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.
Faraid boleh gugur jika
Walau bagaimanapun hak faraid seseorang boleh gugur apabila ahli waris itu membunuh. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: "Tidak mewarisi orang yang membunuh itu sesuatu"
Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid, sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.
Pengurusan Harta Pusaka
Kedudukan Baitulmal dalam Pengurusan Harta Pusaka
Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-waris yang berhak.
Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashabul furudh ataupun para 'asabah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan peribadi.
Undang-undang di bawah Seksyen 13(1), Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 iaitu antara lain menyebut, "Dengan syarat jika ada undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berhubungan dengan Baitulmal, Pentadbir Tanah hendaklah sebelum membahagikan apa-apa bahagian harta pusaka si mati beragama Islam, memuaskan dirinya bahawa apa-apa bahagian harta pusaka yang kena dibayar kepada Baitulmal telah dibayar sewajarnya atau peruntukan sesuai telah dibuat bagi pembayarannya."
Seksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, "Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah."
Wasi
Pentadbir atau dikenali sebagai Wasi adalah wakil yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan, melaksanakan wasiat, melangsaikan hutang dan membahagikan harta pusaka mengikut faraid. Pentadbir adalah wakil yang dilantik oleh si mati. Walaubagaimanapun, jika tiada perlantikan pentadbir dalam wasiat atau tiada wasiat maka Mahkamah akan mengelurkan Surat Kuasa Mentadbir yang telah mendapat persetujuan semua waris. Pentadbir ini lah yang bertanggungjawab memohon surat kuasa mentadbir, memohon sijil faraid, mengurus dan membahagikan harta pusaka si mati kepada waris secara adil. Jika pentadbir kurang pengetahuan dan kemahiran bolehlah meminta bantuan peguam dan atau syarikat-syarikat amanah yang berkenaan.
Pembahagian harta pusaka agak sukar dilaksanakan dan memakan masa tiga bulan sehingga bertahun-tahun jika tiada perlantikan Pentadbir harta pusaka iaitu individu / organisasi yang akan menguruskan proses pencairan aset simati yang terbeku secara automatik sebaik sahaja simati meninggal dunia. Perlantikan Pentadbir harta pusaka penting dalam menguruskan dan mentadbir pusaka simati adalah sebaik-baiknya dilantik semasa masih hidup dengan menulis wasiat untuk mengelakkan pertikaian dikemudian hari.
Geran Probet
Geran Probet adalah sijil pengesahan wasiat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil kepada Pentadbir yang dinamakan didalam wasiat. Pentadbir mempunyai kuasa untuk mentadbir harta pusaka sebaik sahaja Geran probet dikeluarkan.
Surat Kuasa Mentadbir
Surat Kuasa mentadbir atau Akuan akan dikeluarkan apabila seseorang itu meninggal dunia tanpa wasiat. Di Malaysia institusi yang mempunyai kuasa mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir iaitu Mahkahmah Tinggi Sivil, Amanah Raya dan Unit Pembahagian Pusaka Kecil. Kepentingan Surat Kuasa Mentadbir adalah bertindak sebagai Pentadbir dan pemegang amanah bagi harta tersebut kepada waris yang lain secara adil.
Comments
Post a Comment