Skip to main content

Nasab dan Status Anak Tidak Sah Taraf




Perkahwinan dalam Islam
Perkahwinan adalah amanah Allah swt. Untuk menyempurnakan amanah Allah itu ia memerlukan lima rukun iaitu:
1.       Calon suami
2.       Calon isteri
3.       Wali
4.       Dua orang saksi
5.       Sighah ijab qabul
Jika kekurangan salah satu rukun itu maka perkahwinan itu tidak sah.  Oleh kerana wali merupakan salah satu syarat sah nikah maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:
1.        Islam
2.        Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun).
3.        Berakal - Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
4.        Lelaki - Orang perempuan tidak sah menjadi wali.
5.        Adil
6.        Merdeka

Isu Perkahwinan di Luar Negara tanpa kebenaran
Bagi perkahwinan di luar negara perlu disahkan perkahwinan tersebut di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum mendaftar perkahwinan tersebut di pejabat agama islam.  Proses ini adalah untuk menentukan status perkahwinan adalah sah mengikut syarak dan jika perkahwinan mereka tidak sah maka perkahwinan akan difaraqkan dan anak yang lahir hasil dari perkahwinan tersebut  kekal  di bin atau di binti kan dengan nama Abdullah.   Ini kerana peraturan Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) anak yang lahir bagi kes pernikahan pasangan islam diluar negara (sempadan Thailand) juga diklasifikan sebagai anak tak sah taraf.
Isu ini akan selesai jika pasangan tersebut mengikut undang-undang yang digariskan.  Pihak JPN akan mencatat semula nama bapa sebenar anak tersebut pada sijil kelahiran sekiranya pasangan tersebut  boleh mengemukakan surat perakuan daripada ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk atau pihak Jabatan Kehakiman Syariah negeri-negeri telah mengesahkan perkahwinan tersebut.   
Prosedur Daftar Nikah yang dilangsungkan di Luar Negara tanpa kebenaran
1.       Pemohon hendaklah hadir ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan pernikahan dan perintah daftar pernikahan
2.       Setelah mendapat perintah daripada Mahkamah Syariah , pemohon hendaklah hadir ke Pejabat Agama Islam untuk proses pendaftaran Nikah
3.       Jika di Wilayah Persekutuan, pemohon hendaklah ke Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI dan mengisi Borang Permohonan Pendaftaran Pernikahan Luar Negara.
4.       Dokumen yang perlu dilampirkan :
a.  Kad Pengenalan atau passport (bukan negara) suami isteri (asal dan salinan)
b. Perintah daftar pernikahan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah
c. Salinan Surat Perakuan Nikah yang dikeluarkan negara berkenaan
d. Surat Perakuan Cerai asal (jika duda atau janda)
e. Maklumat daripada pegawai Penguatkuasa (Borang 5) daripada Bahagian Penguatkuasaan.
5. Hadir bersama pasangan pada tarikh yang ditetapkan untuk proses soal selidik, bacaan ta’liq dan pendaftaran.
Kegagalan mematuhi ketetapan syarak tersebut boleh menyebabkan, perkahwinan tersebut perlu difaraq atau dinamakan juga sebagai ‘pemisahan kehakiman’ seperti dalam kes mewalikan anak tak sah taraf dengannya.

Faraq Perkahwinan

Faraq dari segi bahasa, berasal daripada perkataan ‘faraqa’ dan kata terbitannya ialah ‘tafriq’ yang bermaksud pemisahan atau pembubaran (Ibrahim Mustafa & Muhammad 1989). Perkataan faraq dalam al-Quran juga membawa maksud cerai atau pisah.  Faraq dari segi istilah bermaksud pemisahan atau pembubaran bagi perkahwinan sama ada melalui talak atau selainnya. Abdul Karim Zaydan (2012) berpendapat, faraq ialah pemutusan ikatan perkahwinan dia antara pasangan suami isteri atas sebab-sebab tertentu sama ada melalui talak dan fasakh. Namun begitu, dalam sistem perundangan Islam di Malaysia, istilah faraq lebih merujuk kepada pembubaran perkahwinan bukan melalui talak (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 2017).

Terdapat beberapa sebab yang membolehkan Mahkamah melakukan faraq atau pemisahan kehakiman terhadap sesebuah ‘perkahwinan’. Di antara sebab berlakunya faraq ialah perkahwinan dengan sesama mahram, perkahwinan dengan perempuan yang sedang menjadi isteri kepada orang lain, perkahwinan dengan orang bukan Islam, perkahwinan dengan lima orang perempuan dalam satu masa/ akad, perkahwinan seorang perempuan dengan berwalikan ‘wali’ yang tidak diiktiraf perwaliannya oleh Syarak dan lain-lain sebab yang digariskan oleh syarak.

Dalam konteks perkahwinan, Wali merujuk kepada individu yang mempunyai kuasa untuk melakukan akad perkahwinan terhadap orang yang di bawah jagaannya tanpa bergantung kepada keizinan. Wali merupakan salah satu rukun nikah dan tanpanya pernikahan adalah tidak sah.  

Susunan Wali Terdapat tiga kategori Wali iaitu :

1.       Wali Hakim,
2.       Wali Mujbir
3.       Wali Ikhtiar. 


Wali Hakim atau Wali Raja

Adalah bagi pihak yang tidak mempunyai wali atau tidak memiliki wali sah menurut hukum syarak seperti wali enggan, wali tinggal terlalu jauh, wali akrab yang tidak dapat dikesan atau ghaib dan termasuklah juga bagi kes anak tak sah taraf.  ‘Wali Raja’ ialah wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal mana-mana Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab.

Wali Mujbir dan Wali Ikhtiar

Merupakan wali nasab kepada wanita yang diwalikan olehnya. ‘nasab’ iaitu merujuk kepada keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah.  Hubungan wali dan nasab menunjukkan bahawa sesuatu perkahwinan itu hanya diiktiraf menurut perundangan sekiranya wali dan wanita yang diwalikan mempunyai pertalian nasab yang sah menurut syarak.  Jika perkahwinan itu berlaku tanpa wali yang diiktiraf syarak, maka mahkamah boleh membuat ‘pemisahan kehakiman’ atau faraq terhadap perkahwinan tersebut.   

Wali mujbir ertinya wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu. Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa, datuk dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali-wali lain seperti saudara lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin. Dalilnya ialah: 

“Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya dan perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”. 
(Riwayat Darul-Qutni) 
Hadith ini menunjukkan bapa atau datuk mengahwinkan anak perempuan yang perawan tanpa meminta izin anak perempuan itu terlebih dahulu adalah sah.

Wali yang Sedarjat
Wali sedarjat ialah wali-wali yang mempunyai bidang kuasa yang setaraf atau sama. Misalnya bagi pengantin perempuan yang sudah tidak ada lagi bapa dan datuk, maka orang yang berhak menjadi wali mengikut tertib ialah saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan itu.
Persoalan yang timbul ialah saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan itu ramai. Siapa yang berhak menjadi wali?
Mengikut Islam kalau semua wali sedarjat itu bersependapat dan redha dengan bakal suami pilihan perempuan itu maka salah seorang boleh menjadi wali. Yang afdhalnya ialah terdiri daripada orang yang tahu hal-hal agama atau alim.

Anak Tidak Sah Taraf
Bagi anak yang lahir daripada perkahwinan suami isteri  yang sah disebut sebagai bapa syarie iaitu percantuman benih lelaki dan perempuan yang diikat oleh perkahwinan atau sesuatu kaedah diluluskan syarak.  Manakala percantuman benih lelaki dan perempuan secara tabii sehingga melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan atau kaedah yang diluluskan syarak Istilah lelaki yang bersetubuh dengan ibu anak tidak sah taraf itu disebut sebagai bapa biologi.

Anak tidak sah taraf ialah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan anak perhambaan. Anak dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh). Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak berkenaan.
Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka-mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Hasil daripada hubungan yang tidak ada ikatan pernikahan yang sah di sisi syarak walaupun anak itu lahir lebih dari tempoh enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya.  Seandainya ibu bapa sendiri mengakui anak itu hasil hubungan tidak sah, maka pernikahan anak itu kelak sewajarnya menggunakan wali hakim.

Ia diperuntukkan di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Seksyen 110.
“Jika seorang perempuan berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada sebab kematian lelaki itu atau perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.
Selain itu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada tarikh 2 Januari 2001 memutuskan dan mewartakan fatwa bahawa: “Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh pasangan akad nikah ialah anak sah taraf.”
Amalan di Malaysia, bagi anak tidak sah taraf perlu memohon kebenaran mahkamah untuk bernikah dengan menggunakan wali hakim.  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri ada memperuntukkannya di bawah Seksyen 18.

Kaedah Sabitan Nasab

1.       Perkahwinan Sahih
2.       Perkahwinan Fasid
3.       Perkahwinan Syubhah


Perkahwinan Sahih

Perkahwinan yang sahih merujuk kepada pernikahan yang benar-benar berlaku menurut hukum syarak seperti menepati segala rukun dan syarat perkahwinan, berlaku persetubuhan, anak yang dilahirkan dalam tempoh tertentu dari akad perkahwinan dan pernah berada bersama-sama walaupun dalam keadaan yang singkat.   Berkenaan dengan tempoh masa, jumhur ulamak bersepakat bahawa tempoh paling singkat seseorang anak itu boleh dinasabkan kepada bapanya adalah 6 bulan selepas tarikh akad.  Seseorang anak itu hanya boleh dinasabkan kepada bapanya apabila jika dia dilahirkan oleh perempuan yang dikahwininya lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada pembubaran itu berlaku disebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula.  Melainkan jika lelaki itu menafikan anak yang dilahirkan isterinya itu adalahnya  bukan anaknya, maka penafian itu boleh dibuat dengan cara li’an di hadapan Mahkamah. 

Dalam kes pengakuan yang dibuat oleh seorang lelaki bahawa anak itu adalah anaknya, maka perundangan syariah telah menggariskan beberapa syarat perlu dipenuhi oleh pihak yang membuat pengakuan itu. Seksyen 115 memperuntukkan: Jika seseorang lelaki mengaku seorang lain, sama ada secara nyata atau secara tersirat, sebagai anaknya yang sah, lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu jika, syarat-syarat yang berikut dipenuhi, iaitu-

(a) tiada seseorang lain disifatkan sebagai bapa anak itu;
(b) perbezaan antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;
(c) jika anak itu telah akil baligh, dan dia boleh membuat keputusan, anak itu telah bersetuju dia diakui sebagai anak;
(d) lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;
(e) pengakuan itu bukannya sekadar pengakuan bahawa anak itu ialah anaknya, bahkan juga bahawa anak itu ialah anak sah tarafnya;
(f) lelaki itu berkeupayaan membuat kontrak;
(g) pengakuan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi taraf kesahtarafan; atau
(h) pengakuan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu diakui sebagai anak kandungnya.

Apabila seseorang itu telah membuat pengakuan bahawa anak itu adalah anaknya dan lelaki tersebut juga telah memenuhi syarat sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Seksyen 115. Perkara ini pula disahkan oleh mahkamah, maka pengakuan tersebut tidak boleh ditarik balik sewenang-wenangnya. Seksyen 120 menyatakan: Apabila pengakuan atau pengesahan dibuat tentang pertalian sebagai bapa dan anak atau tentang perkeluargaan atau persaudaraan, maka pengakuan atau pengesahan itu tidak boleh dibatalkan.


Perkahwinan Fasid

Perkahwinan yang fasid berlaku apabila salah satu syarat-syarat sah nikah tidak dipenuhi seperti perkahwinan tanpa saksi. Perkahwinan seumpama ini wajib difaraqkan.  Sekiranya pasangan tersebut mempunyai anak, jumhur ulamak berpendapat bahawa anak tersebut boleh dinasabkan kepada bapanya dengan syarat persetubuhan hakiki dan bayi yang dilahirkan itu mestilah 6 bulan atau lebih selepas berlakunya persetubuhan. 

Dalam kes Norasiah bt Abd. Rahman dan Mohd Nasir b Mohd Rosly merupakan anak tidak sah taraf dengan bapanya. Apabila Norasiah berkahwin pada 28 Oktober 2006, dia telah menjadikan abangnya sebagai wali yang sepatutnya berwalikan dengan wali hakim. Apabila kes tersebut dilaporkan ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang telah diberikan, maka perkahwinan Norasiah bt Abd. Rahman dan Mohd Nasir b Mohd Rosly telah difaraqkan pada 10 Januari 2012 setelah hampir 4 tahun mereka mendirikan rumah tangga


Persetubuhan Syubhah

Dalam kes persetubuhan tersilap dan persetubuhan yang berlaku di dalam perkahwinan yang disangka sah sedangkan perkahwinannya itu sebenarnya tidak sah dari segi hukum syarak, hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan kerana persetubuhan yang berlaku adalah termasuk dalam kategori persetubuhan syubhah (wati syubhah). Pun begitu, pasangan tersebut wajib difaraqkan. Jika perkahwinan yang difaraqkan disebabkan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut dinasabkan kepada bapanya.

Seksyen 114:  Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

Comments

Popular posts from this blog

Pemberimilikkan Tanah

 S.76  KTN memberikan maksud pemberimilikkan adalah suatu pelupusan tanah kerajaan oleh PBN sama ada untuk :      (a) tempoh tidak melebihi 99 tahun      (b) buat selama-lamanya  Pegangan tanah terdiri daripada dua (2) jenis  :      a. pegangan kekal (freehold)      b. Pegangan bertempoh (leasehold) PBN diberikan kuasa untuk menentukan bentuk pegangan sama ada hakmilik  freehold atau leasehold bergantung kepada syarat-syarat pelupusan tanah yang akan dikenakan dan terikat status tersebut dan tidak mudah untuk diubah  atau ditukar sewenang-wenangnya. Hak milik terbahagi kepada dua :   1          Hak milik Pejabat Pendaftaran – iaitu hak milik yang dibuat melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian di peringkat negeri. Hak milik jenis ini adalah untuk tanah bandar dan tanah pekan; lot tanah desa melebihi 4 hektar;dan bahagian pinggir laut atau dasar laut. 2.  ...

Pecah Bahagian Tanah ,Sempadan Tanah dan Menyatukan Tanah

Pecah bahagian ialahn satu proses yangn membolehkan mana-mana sebidang tanah bermilik yang dimiliki oleh dua (2) orang atau lebih pemilik bersama dipecah bahagian untuk membolehkan setiap pihak memperolehi kuasa keatas tanah berkenaan dibawah hakmilik yang berasingan.  Pernohonan dan syarat-syarat tertakluk kepada kelulusan Pengarah Negeri dan Pentadbir Tanah dibawah S.41 KTN. Permohonan Pecah Bahagian S.142  kelulusan permohan pecah sebahagian mana-mana tanah perlu dikemukakan secara bertulis menggunakan Borang 9B dan disertai oleh perkara-perkara berikut: a. fee permohonan b. Satu pelan menurut skala yang betul c. Kelulusan mana-mana pihak Perancang Pembangunan d. Keizinan bertulis dalam perenggan (e) e. Keizinan bertulis terhadap permohonan untuk tuanpunya bersama Pecah Tanah oleh Pemegang Syer Majoriti dan Pemegang Minoriti S.141A  pindaan-pindaan yang membenarkan tuan tanah, pemegang minoriti untuk membuat permohonan bagi pecah bahagian tanpa mendapatkan persetujuan ...

Hak Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pelupusan Tanah

  Undang-undang tanah di Malaysia adalah berasaskan Sistem Torrens iaitu  pendaftaran adalah segalanya.    Pada dasarnya urusan tanah terletak dibawah bidangkuasa Kerajaan Negeri sebagai Pihak Berkuasa Negeri (PBN) seperti yang Senarai II, Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.  S.40 KTN memperuntukkan bahawa semua tanah didalam negeri dan semua galian dan batuan yang terkandung didalam tanah terletak dibawah kuasa PBN. Oleh kerana PBN mempunyai kuasa keatas tanah negeri, maka kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh dan hak seperti yang diperuntukkan dibawah seksyen-seksyen berikut; S.40- S.50 termasuk a. mempunyai hak dalam semua harta dalam bentuk tanah b. kuasa pelupusan melalui pemberimilikkan, perizaban, pemberian lsen dan permit c. Kuasa mengenakan syarat mengenai penjenisan dan penggunaan tanah. Selain itu PBN juga mempunyai kuasa : S.130 melucuthakkan atau merampas tanah S.195 Menyerah balik tanah S.351 Perkembalian tanah kepada PBN Kuasa Pelupusan Tanah Ha...